Tuesday, June 29, 2010

Usaha kita

Sampah adalah hasil daripada aktiviti manusia dan binatang. Binatang tidak boleh mengurus sampah mereka sendiri, sebaliknya manusia diberikan akal dan tenaga untuk mengurus sampah yang dihasilkan oleh mereka sendiri.

Namun begitu, dalam dunia yang semakin kompleks ini, kita selalunya akan 'melantik' pihak ketiga untuk mengurus sampah. Memang benar, kesuntukan masa, ketidakupayaan dari segi logistik dan pelbagai alasan logik lagi memerlukan pihak lain mengurus sampah kita.

Ini tidak dapat dinafikan. Saya masih memerlukan pihak kontraktor sampah untuk mengutip dan menyelenggara tong sampah kita.

Tetapi sedarkah kita bahawa kita dapat mengurangkan jumlah sampah ke tapak pelupusan sampah, sekaligu dapat menjana sedikit wang sampingan daripada sampah yang kita hasilkan itu?

Kalau dilihat daripada peratusan 30% sampah (sampah kering), kebanyakkannya boleh dikitar semula. Apa yang perlu hanyalah menyediakan tong-tong sampah yang berkaitan dan sedikit usaha untuk mengasing-asingkan sampah mengikut jenis. Penuh dan jual ke tempat kitar semula.

30% sampah kering yang boleh dikitar semula termasuklah:
  1. Aluminium (tin-tin minuman)
  2. Kertas (termasuklah pembalut coklat)
  3. Kaca
  4. Besi (tin sardin misalnya dan termasuklah sekecil-kecil sumber seperti besi kokot untuk stapler!)
  5. Karton (bekas minuman kotak - Tetra Pack)
  6. Plastik (botol plastik etc)
  7. Perkakasan komputer
Tetapi ada juga yang tidak boleh dikitar semula:
  1. Bag plastik (tetapi ada maklumat mengatakan sudah ada teknologi di utara - Perlis - yang dapat mengitar semula bag plastik untuk dijadikan petroleum - akan saya selidiki lebih lanjut apabila pulang ke Perlis nanti)
  2. Plastik pembalut (misalnya pembalut gula-gula)
  3. Mentol (seharusnya sudah boleh dikitar semula. Oxram misalnya sudah punyai teknologi kitar semula mentol-mentol yang dibuatnya, tetapi katanya hanya di eropah. Belum di Malaysia)
Kalau dilihat daripada senarai di atas, kita boleh usaha lebih lagi untuk memastikan 30% sampah kering itu untuk dikitar semula, dan tidak ada sebab untuk membuangnya terus ke tong sampah!

Saturday, June 26, 2010

70% - 30%

Hasil daripada kajian literatur saya, mendapati kebanyakkan negara membangun, seperti Malaysia; setiap rakyatnya menghasilkan antara 0.4 kg - 1 kg sampah setiap hari. Sampah-sampah yang dihasilkan ini kebanyakkannya akan dibuang terus ke tempat pelupusan sampah apabila sampah-sampah ini diangkut oleh lori sampah.

Daripada jumlah ini, 70% adalah sampah basah (wet waste) yang terhasil daripada sisa dapur (kitchen waste), manakala 30% adalah sampah kering (dry waste) yang kebanyakkannya boleh dikitar semula.

Masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan negara membangun adalah untuk mengurus sampah basah. Kalau dikaji kajian kes di Brazil, 30% sampah kering tidak menjadi masalah kepada pengurusan sampah mereka. Ini adalah kerana 30% itu adalah sumber kewangan kepada rakyat mereka. 30% itu boleh dikutip dan dijual di pusat-pusat kitar semula.

70% itulah yang menjadi masalah utama kepada negara-negara membangun. Apa kaedahnya untuk 'mengitar semula' sampah basah? Akibatnya, sampah-sampah inilah yang memenuhkan tempat pelupusan sampah. Termasuklah di Malaysia!

Sebenarnya ada kaedahnya. Mengikut kajian literatur saya lagi, kesedaran menjadi faktor utama kepada kejayaan pengurusan sampah yang lestari. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada pihak berkuasa, sebaliknya kita boleh mengurus sendiri sampah-sampah yang dihasilkan oleh kita sendiri. Malah, hasil daripada usaha ini kita boleh menjana sedikit wang untuk dimasukkan ke dalam tabung pendapatan sampingan.

Inilah antara objektif saya yang paling utama dalam mengendalikan blog ini.